Google telahpun memperkenalkan versi terbaru Android buat masa ini dikenali sebagai Android M. Selepas hadir dengan rekaan 'material design' untuk versi Lolipop terdahulu, Android M kali ini lebih kepada menambah baik fungsi sedia ada bagi memudahkan lagi penggunaan. Terdapat enam perkara utama dikongsikan, berikut antara perkara baru yang terdapat untuk versi Android M:
1. App Permissions
Melalui App Permissions pengguna kini dapat mengawal dan memilih samada untuk menerima atau menolak kebenaran yang boleh diakses oleh sesuatu aplikasi seperti gps dan mikrofon. Contohnya, rakaman mesej suara melalui WhatsApp, WhatsApp akan memaparkan tetingkap, meminta kebenaran akses menggunakan mikrofon untuk membuat rakaman. Pengguna boleh membuat pillihan disitu atau mengawal kebenaran tersebut melalui halaman tetapan (setting).
2. Web Experience
Google juga menyediakan kemudahan interaksi antara web dan aplikasi dengan lebih baik dengan memperkenalkan 'Chrome Custom Tab'. Fungsi terbaru ini membolehkan sesuatu aplikasi untuk membuka tetingkap Chrome didalamnya, tanpa perlu melancarkan aplikasi Chrome secara berasingan atau meninggalkan aplikasi berkenaan.
3. App Links
Kebiasannya apabila anda menekan sesuatu pautan atau weblink, anda akan diminta untuk memilih aplikasi mana yang perlu digunakan. Contohnya pautan ke YouTube, android akan memaparkan tetingkap samada membukanya melalui aplikasi Youtube atau Chrome. Android sebenarnya tidak dapat mengenal pasti apa yang perlu dilakukan.
Google menambah baiknya dengan fungsi app links, membolehkan para pembangun menetapkan supaya sesuatu pautan(link) dibuka terus menggunakan aplikasi mereka. Jadi pengguna tidak lagi perlu untuk membuat pilihan ketika membuka sesuatu pautan.
4. Mobile Payments / Android Pay
Android Pay adalah sistem pembayaran mudah alih baharu Google untuk membuat proses checkout yang lebih mudah dan lebih cepat. Penggunaanya bukan sahaja untuk pembelian digital, tetapi juga di kedai. Tetapi setakat ini, sokongan awal hanya diumumkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan akan diperluaskan secara berperingkat kepada semua.
5. Fingerprint Support
Google turut mengumumkan sokongan pengimbas cap jari pada telefon yang menggunakan Android M. Fungsi baru ini membolehkan pengimbas cap jari bukan sahaja digunakan untuk unlock telefon dan aplikasi, tetapi juga untuk membuat pembelian secara online.
6. Power & Charging
Google juga ingin memastikan hayat bateri lebih tahan lama, dengan perkenalkan fungsi baru dalam Android M dikenali sebagai Doze. Ia akan mengenalpasti peranti yang tidak aktif, seterusnya mengurangkan proses latar belakang bagi memastikan penggunan kuasa yang minimum. Fungsi ini dikatakan mampu untuk meningkatkan penggunaan dua kali ganda dalam mod standby time. Selain itu, Android M juga menyokong penggunaan USB Type-C yang pastinya akan digunakan pada telefon pintar baru. Memberikan tahap pengecasan yang lebih pantas dan mudah digunakan.
7. Now On Tap
Penggunaan Google Now juga dipertingkatkan dengan pengenalan fungsi Now On Tap. Melaluinya, pengguna boleh mendapat informasi lanjut tanpa meninggalkan aplikasi yang digunakan.
8. Google Photos
Google turut perkenalkan aplikasi baru Google Photos iaitu tempat penyimpanan gambar dan video secara online. Pengguna boleh menyimpannya secara percuma dengan kadar gambar sebesar 16MP dan video 1080p.
Melalui Google Photos, pengguna boleh membuat carian secara mudah mengikut tempat, orang, jenis, dan benda. Menariknya setiap gambar dan video diuruskan secara automatik tanpa perlu pengguna menetapkan secara manual.
9. Selain itu Google tidak ketinggalan menambah baik perkara kecil seperti kemudahan copy paste, pengurusan volume, auto backup, restore apps dan banyak lagi.
Versi akhir Android M akan hadir pada akhir tahun ini. Buat masa ini anda boleh mencubanya melalui versi Android M Developer Preview yang ditawarkan untuk Nexus 5, Nexus 6, Nexus 9 dan juga Nexus Player sahaja. Versi akhir belum diumumkan lagi.